Jumat, 30 Mei 2008

Nur Ain Tinunggul (Sabah) Pilih Islam

BERGELAR mualaf atau saudara baru, rutin kehidupan mereka tidak pernah terlepas daripada pelbagai dugaan dan cabaran. Kalau pun ada yang dipermudahkan jalannya, bilangannya sangat kecil dan mereka ini dikira bertuah. Realitinya, krisis yang melanda ini ada ketikanya menguji keimanan yang masih tipis. Pun begitu, apabila semua itu berjaya dilepasi, itulah saat yang paling membahagiakan dan di situlah nikmat kemanisan iman terungkai.

Bagi Nur Ain Tinungul Abdullah, 35, beliau mengakui sebaik diri bergelar Muslim, pelbagai dugaan datang melanda malah ada ketikanya menimbulkan tekanan. Namun, semua itu diterima dengan reda dan ikhlas demi kecintaan dan keyakinan beliau kepada Allah Yang Esa.

"Sungguhpun agama Islam ini sudah lama saya kenali iaitu sewaktu di bangku sekolah rendah lagi, namun ia tidak bermakna sudah cukup syarat yang melayakkan saya bergelar Muslim. Sebenarnya, saya mengambil masa agak lama untuk benar-benar yakin dengan kesyumulan agama Islam.

"Walau bagaimanapun, pada 2 Februari 2000, saya akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Islam Sabah sewaktu pulang bercuti di kampung halaman," cerita wanita kelahiran Keningau, Sabah ketika ditemui di Pusat Islam, baru-baru ini.

Akui Nur Ain lagi, biarpun minat awalnya kepada Islam sekadar suka melihat cara hidup masyarakat Muslim tetapi lama-kelamaan bertambah serius setelah banyak membaca mengenainya Islam menerusi buku-buku pemberian seorang teman.

"Saya masih ingat lagi perkenalan dengan seorang anak ustaz bernama Farhana. Mereka sekeluarga berasal dari Kuala Lumpur dan berhijrah ke Sabah kerana bapanya menerima arahan untuk mengajar di sekolah saya.

"Kami memang berkawan baik malah saya mengenali rapat kedua-dua orang tuanya. Banyak amalan mereka sebagai seorang Muslim seperti solat, puasa dan akhlak mereka, begitu memikat hati saya.

"Semuanya menjadi serius selepas membaca tafsir al-Quran yang dipinjamkan Farhana. Sejak itu, saya bertambah berminat mendalami tentang Islam. Pada masa itu, minat sudah ada tetapi hidayahnya belum sampai," akui Nur Ain yang pernah mengusahakan salon kecantikan dan dandanan rambut sebelum memilih melakukan kerja itu secara freelance (bebas).

Menyambung kisah penghijrahan akidah, kata Nur Ain, selepas tamat persekolahan pada 1993, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dengan perancangan bekerja sambil belajar.

Apatah lagi, bidang kecantikan yang diminati lebih banyak ditawarkan di kota metropolitan, Kuala Lumpur.

"Memandangkan pemergian saya pada masa itu atas kehendak dan pilihan sendiri, jadi saya terpaksa berdikari demi menampung perbelanjaan sara hidup di tempat orang.

"Sungguhpun sibuk dengan pengajian dan pekerjaan namun minat saya kepada Islam tidak pernah pudar. Dalam kesibukan itu, saya tetap meluangkan masa untuk membaca bahan-bahan berkaitan Islam.

"Lumrah anak perantauan, tinggal sendirian di Kuala Lumpur, pergaulan saya lebih banyak dengan orang Melayu. Ini secara tidak langsung, menambah pemahaman dan keyakinan dengan agama Islam," cerita Nur Ain yang menemui hidayah Ilahi tujuh tahun kemudian.

Menyedari diri berseorangan bergelar Muslim, lantaran itu, Nur Ain sentiasa tidak melepaskan peluang mengikuti pengajian agama di mana-mana pejabat agama mahupun badan-badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Menurutnya, hanya dengan ilmu sahaja dapat memberi keyakinan dan kekuatan terutamanya kepada golongan mualaf untuk berhadapan dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan, sama ada dari bukan Islam dan masyarakat Islam itu sendiri.

Selalunya tentangan itu wujud daripada mereka yang tidak mengenali Islam dalam erti kata yang sebenar.

"Saya tidak salahkan mereka kerana kekeliruan itu timbul kerana orang Islam itu sendiri tidak menunjukkan contoh akhlak Muslim.

"Banyak yang berlaku kepada teman- teman mualaf saya mereka disisih atau dipinggirkan keluarga dengan alasan agama Islam ini menganiaya wanita, agama kekerasan, agama yang mundur dan berbagai-bagai lagi.

"Namun, nasib baiklah mereka ini belajar agama, sekurang-kurangnya apa yang melanda mereka boleh ditepis dengan ilmu pengetahuan daripada guru-guru agama yang bertauliah.

"Sebenarnya, cabaran bergelar saudara baru itu amat besar dan banyak. Tanpa ilmu dan sokongan, tidak mustahil boleh kecundang. Nauzubillah...

"Sebab itulah saya seronok mengikuti kelas agama. Ia bukan sahaja peluang untuk menuntut ilmu tetapi berkongsi masalah serta membuka minda.

"Alhamdulillah, apabila kita memiliki ilmu, ia memudahkan amalan, sekali gus menjadikan kehidupan kita itu lebih bermatlamat duniawi dan ukhrawi," akui Nur Ain.

Beliau juga sudah bertahun mengikuti kelas pengajian agama kendalian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada setiap Isnin hingga Jumaat.

"Peristiwa paling bermakna dalam kehidupan saya sebagai seorang Muslim ialah apabila lapan adik-adik saya mengucap dua kalimah syahadah dan ia adalah saat yang paling menyentuh perasaan," katanya yang mempunyai 10 adik-beradik.

Tambah manis lagi apabila ayahnya juga mengikut langkah mereka iaitu pada tahun lalu dengan menggunakan nama, Mohamad Affendy Abdullah, 57.

Tiada ucapan yang dapat menggambarkan kesyukuran dan kegembiraan itu selain lebih mengakui kekuasaan Allah itu.

Sungguhpun, ibunya tidak sempat mengucap syahadah secara rasmi tetapi kata Nur Ain, sebelum beliau menghembuskan nafas pada 2004 telah ada tanda-tanda dan tingkah lakunya yang menampakkan penerimaan Islam.

"Pengislaman mereka adalah hadiah paling bererti dalam hidup ini. Sesungguhnya peristiwa ini menguatkan lagi keazaman saya untuk terus berdakwah.

"Orang selalu bertanya rahsia kejayaan saya mengislamkan hampir keseluruhan ahli keluarga. Sebenarnya itu semuanya hidayah Ilahi, sebagai hambanya, saya hanya terus-menerus berdoa.

"Saya percaya dakwah bil-hal juga punyai kekuatan tersendiri. Kita lihat sendiri bagaimana Baginda Rasulullah SAW mempamerkan akhlak mulia sebelum berdakwah secara terang-terangan.

"Perkara yang sama juga saya praktikkan kepada ahli keluarga dan meneruskan tanggungjawab sebagai anak dan kakak," ujar Nur Ain yang terpanggil menjalankan kerja-kerja pendakwahan kerana menyedari kewajipan atas suruhan menyampaikan

Tidak ada komentar: