Jumat, 30 Mei 2008

Nur Ain Tinunggul (Sabah) Pilih Islam

BERGELAR mualaf atau saudara baru, rutin kehidupan mereka tidak pernah terlepas daripada pelbagai dugaan dan cabaran. Kalau pun ada yang dipermudahkan jalannya, bilangannya sangat kecil dan mereka ini dikira bertuah. Realitinya, krisis yang melanda ini ada ketikanya menguji keimanan yang masih tipis. Pun begitu, apabila semua itu berjaya dilepasi, itulah saat yang paling membahagiakan dan di situlah nikmat kemanisan iman terungkai.

Bagi Nur Ain Tinungul Abdullah, 35, beliau mengakui sebaik diri bergelar Muslim, pelbagai dugaan datang melanda malah ada ketikanya menimbulkan tekanan. Namun, semua itu diterima dengan reda dan ikhlas demi kecintaan dan keyakinan beliau kepada Allah Yang Esa.

"Sungguhpun agama Islam ini sudah lama saya kenali iaitu sewaktu di bangku sekolah rendah lagi, namun ia tidak bermakna sudah cukup syarat yang melayakkan saya bergelar Muslim. Sebenarnya, saya mengambil masa agak lama untuk benar-benar yakin dengan kesyumulan agama Islam.

"Walau bagaimanapun, pada 2 Februari 2000, saya akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Islam Sabah sewaktu pulang bercuti di kampung halaman," cerita wanita kelahiran Keningau, Sabah ketika ditemui di Pusat Islam, baru-baru ini.

Akui Nur Ain lagi, biarpun minat awalnya kepada Islam sekadar suka melihat cara hidup masyarakat Muslim tetapi lama-kelamaan bertambah serius setelah banyak membaca mengenainya Islam menerusi buku-buku pemberian seorang teman.

"Saya masih ingat lagi perkenalan dengan seorang anak ustaz bernama Farhana. Mereka sekeluarga berasal dari Kuala Lumpur dan berhijrah ke Sabah kerana bapanya menerima arahan untuk mengajar di sekolah saya.

"Kami memang berkawan baik malah saya mengenali rapat kedua-dua orang tuanya. Banyak amalan mereka sebagai seorang Muslim seperti solat, puasa dan akhlak mereka, begitu memikat hati saya.

"Semuanya menjadi serius selepas membaca tafsir al-Quran yang dipinjamkan Farhana. Sejak itu, saya bertambah berminat mendalami tentang Islam. Pada masa itu, minat sudah ada tetapi hidayahnya belum sampai," akui Nur Ain yang pernah mengusahakan salon kecantikan dan dandanan rambut sebelum memilih melakukan kerja itu secara freelance (bebas).

Menyambung kisah penghijrahan akidah, kata Nur Ain, selepas tamat persekolahan pada 1993, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dengan perancangan bekerja sambil belajar.

Apatah lagi, bidang kecantikan yang diminati lebih banyak ditawarkan di kota metropolitan, Kuala Lumpur.

"Memandangkan pemergian saya pada masa itu atas kehendak dan pilihan sendiri, jadi saya terpaksa berdikari demi menampung perbelanjaan sara hidup di tempat orang.

"Sungguhpun sibuk dengan pengajian dan pekerjaan namun minat saya kepada Islam tidak pernah pudar. Dalam kesibukan itu, saya tetap meluangkan masa untuk membaca bahan-bahan berkaitan Islam.

"Lumrah anak perantauan, tinggal sendirian di Kuala Lumpur, pergaulan saya lebih banyak dengan orang Melayu. Ini secara tidak langsung, menambah pemahaman dan keyakinan dengan agama Islam," cerita Nur Ain yang menemui hidayah Ilahi tujuh tahun kemudian.

Menyedari diri berseorangan bergelar Muslim, lantaran itu, Nur Ain sentiasa tidak melepaskan peluang mengikuti pengajian agama di mana-mana pejabat agama mahupun badan-badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Menurutnya, hanya dengan ilmu sahaja dapat memberi keyakinan dan kekuatan terutamanya kepada golongan mualaf untuk berhadapan dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan, sama ada dari bukan Islam dan masyarakat Islam itu sendiri.

Selalunya tentangan itu wujud daripada mereka yang tidak mengenali Islam dalam erti kata yang sebenar.

"Saya tidak salahkan mereka kerana kekeliruan itu timbul kerana orang Islam itu sendiri tidak menunjukkan contoh akhlak Muslim.

"Banyak yang berlaku kepada teman- teman mualaf saya mereka disisih atau dipinggirkan keluarga dengan alasan agama Islam ini menganiaya wanita, agama kekerasan, agama yang mundur dan berbagai-bagai lagi.

"Namun, nasib baiklah mereka ini belajar agama, sekurang-kurangnya apa yang melanda mereka boleh ditepis dengan ilmu pengetahuan daripada guru-guru agama yang bertauliah.

"Sebenarnya, cabaran bergelar saudara baru itu amat besar dan banyak. Tanpa ilmu dan sokongan, tidak mustahil boleh kecundang. Nauzubillah...

"Sebab itulah saya seronok mengikuti kelas agama. Ia bukan sahaja peluang untuk menuntut ilmu tetapi berkongsi masalah serta membuka minda.

"Alhamdulillah, apabila kita memiliki ilmu, ia memudahkan amalan, sekali gus menjadikan kehidupan kita itu lebih bermatlamat duniawi dan ukhrawi," akui Nur Ain.

Beliau juga sudah bertahun mengikuti kelas pengajian agama kendalian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada setiap Isnin hingga Jumaat.

"Peristiwa paling bermakna dalam kehidupan saya sebagai seorang Muslim ialah apabila lapan adik-adik saya mengucap dua kalimah syahadah dan ia adalah saat yang paling menyentuh perasaan," katanya yang mempunyai 10 adik-beradik.

Tambah manis lagi apabila ayahnya juga mengikut langkah mereka iaitu pada tahun lalu dengan menggunakan nama, Mohamad Affendy Abdullah, 57.

Tiada ucapan yang dapat menggambarkan kesyukuran dan kegembiraan itu selain lebih mengakui kekuasaan Allah itu.

Sungguhpun, ibunya tidak sempat mengucap syahadah secara rasmi tetapi kata Nur Ain, sebelum beliau menghembuskan nafas pada 2004 telah ada tanda-tanda dan tingkah lakunya yang menampakkan penerimaan Islam.

"Pengislaman mereka adalah hadiah paling bererti dalam hidup ini. Sesungguhnya peristiwa ini menguatkan lagi keazaman saya untuk terus berdakwah.

"Orang selalu bertanya rahsia kejayaan saya mengislamkan hampir keseluruhan ahli keluarga. Sebenarnya itu semuanya hidayah Ilahi, sebagai hambanya, saya hanya terus-menerus berdoa.

"Saya percaya dakwah bil-hal juga punyai kekuatan tersendiri. Kita lihat sendiri bagaimana Baginda Rasulullah SAW mempamerkan akhlak mulia sebelum berdakwah secara terang-terangan.

"Perkara yang sama juga saya praktikkan kepada ahli keluarga dan meneruskan tanggungjawab sebagai anak dan kakak," ujar Nur Ain yang terpanggil menjalankan kerja-kerja pendakwahan kerana menyedari kewajipan atas suruhan menyampaikan

Joannes Lukas Pilih Islam Setelah Mengkaji


JOANNES Lukas menunjukkan dua buah kitab yang dibuat perbandingan pada peringkat awal pencarian kebenaran. Kitab Tafsir al-Quran (kanan), manakala di sebelah kiri ialah kitab terjemahan Injil .

PERTEMUAN kali pertama penulis dengan anak muda kelahiran Tawau, Sabah ini, langsung tidak menampakkan dirinya seorang mualaf. Ini kerana raut wajah Joannes Lukas, 29, persis jejaka Melayu ditambah pula kelancaran tutur kata tanpa dipengaruhi loghat negeri asalnya.
Malah menurut lulusan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini lagi, kalau melihat penampilan dirinya sebelum bergelar Muslim, beliau sendiri tidak menyangka akan memeluk agama Islam.
“Jadi Muslim... memang tidak pernah terlintas dan terbayang. Ini kerana saya boleh dikatakan seorang penganut Kristian yang setia serta terlibat secara aktif dengan pelbagai aktiviti gereja.
“Tetapi semuanya bermula selepas saya berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk menyambung pengajian di UPM kira-kira 10 tahun lalu. Pada masa itu, saya sedang mengikuti matrikulasi.
“Hakikatnya, pengislaman saya lebih kepada pengkajian dan perbandingan agama. Itupun selepas berhadapan dengan beberapa persoalan berkaitan agama anutan saya ketika itu,” cerita anak muda ini yang yang lebih mesra dengan panggilan Johan ketika ditemui di pejabat Jemaah Islah Malaysia (JIM) di Taman Melawati, Selangor baru-baru ini.
Tambah Johan yang juga merupakan sukarelawan di Hidayah Centre, minat membaca dan menganalisis adalah proses awal sebelum akur akan ketauhidan Allah s.w.t., sekali gus menerima Islam secara ikhlas tanpa paksaan.

“Satu persoalan yang terpacul daripada mulut seorang teman Muslim tentang keyakinan saya dengan agama anutan saya, membuatkan saya sentiasa memikirkannya berulangkali. Malah ini adalah satu pendorong untuk saya mencari apa di sebalik maksud soalannya itu tadi.
“Pada masa sama, saya ada membaca satu buku perbandingan agama yang saya temui di rumah sewaktu pulang bercuti semester. Dalam pembacaan saya itulah pelbagai aspek berkaitan agama anutan saya mula dipersoalkan. Antaranya peranan Nabi Isa dan konsep Triniti atau tritunggal.
“Peliknya, sewaktu meneliti tafsir al-Quran dari al-Fatihah hinggalah ke surah al-Maidah ayat 72 dan 73, saya tidak dapat menahan sebak dan terus menangis. Ayat tersebut menjelaskan soalan yang saya cari selama ini. Seketika itu juga, terdengar laungan azan di masjid berdekatan asrama. Mungkin di situlah Allah memberikan saya hidayah-Nya,” akui Johan yang turut membeli buku-buku lain untuk dibuat perbandingan.

Pertemuan itu, kata Johan menjadi titik perubahan yang menyedarkannya akan erti keEsaan Allah. Di samping itu, menerusi pergaulannya dengan teman-teman Muslim, mereka bagai dapat menghidu minat Johan tentang Islam, lantas memperkenalkannya dengan beberapa orang ustaz di UPM.

Rapat
“Saya mula rapat dengan ustaz Haji Azhari Ahmad dan hubungan kami semakin rapat kerana dia banyak memberi penerangan yang jelas tentang banyak persoalan.

“Alhamdulillah, dengan sokongan ustaz Azhari yang juga merupakan abang angkat, akhirnya saya memeluk Islam iaitu pada 21 Jun 2000 di Jabatan Agama Islam Selangor di Subang Jaya, Selangor,” katanya.

Kata Johan, hanya Allah memahami kegembiraannya kala mengucap dua kalimah syahadah. Ia seolah-olah berjumpa dengan sebutir mutiara. Perasaan seronok, gembira mengatasi segalanya, waima keputusan yang diambil itu membelakangkan keluarga.

“Menyedari pilihan yang dibuat mengundang kemarahan keluarga, saya cuba merahsiakan pengislaman diri daripada pengetahuan keluarga dengan pelbagai helah dan lakonan semata-mata jika pulang ke kampung,” cerita anak ke-10 daripada 12 adik-beradik ini yang mahu kekal dengan nama sebelum Islamnya kerana ia masih membawa maksud yang baik iaitu, Yahya Lokman.

Pun begitu, rahsia yang dipendam selama itu cuba ditamatkan dengan menulis sepucuk surat kepada keluarga. Di dalam warkah itu, Johan cuba menjelaskan kepada keluarganya bahawa pengislamannya bukan kerana paksaan atau pengaruh sesiapa dan bukan kerana wanita tetapi hanya daripada kajian dan berdiskusi untuk mencari kebenaran.

Kata Johan, perbuatannya itu mengundang kejutan besar kepada keluarga dan bermulalah episod penuh mencabar sebaik bergelar Muslim.

“Saya ada pulang ke kampung sebelum majlis perkahwinan kakak. Rupa-rupanya, kepulangan saya tidak diterima mereka sehingga saya dihalau dan dipulau serta disindir. Itu semua tidak saya endahkan kerana saya sentiasa mengatakan bukankah bila saya masuk Islam, saya lebih baik dari dahulu?

“Saya sayangkan keluarga saya. Agama tetap agama dan bangsa tetap bangsa. Islam tidak memisahkan hubungan anak dengan ibu bapa mahupun keluarganya. Di samping itu, saya tidak pernah jemu berdoa dan melakukan yang terbaik sama ada sebagai anak mahupun adik.

“Alhamdulillah, kini ibu yang sudah berusia 64 tahun menerima dan merestui pengislaman saya. Saya bersyukur keperibadian Muslim yang cuba saya tonjolkan kepada keluarga berjaya merubah persepsi negatif mereka terhadap Islam dan menerima saya sebagai Muslim,” ujar Johan yang terus berdoa agar seluruh ahli keluarganya turut menerima hidayah Ilahi.

Mengenai penglibatannya dengan kerja-kerja sukarelawan di Hidayah Centre, kata Johan secara serius ia bermula tahun lalu. Tetapi minatnya bermula selepas perkenalan dengan sukarelawan JIM yang turut sama mengikuti kursus perkaderan mualaf anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2003.

“Di hati kecil saya terpanggil untuk memberi satu kemanisan Islam kepada bukan Islam apa lagi tugas menyampaikan dakwah Islamiah adalah tanggungjawab setiap umat Islam yang merupakan khalifah Allah di muka bumi ini.

“Amatlah penting untuk kita memberi gambaran jelas tentang agama Islam. Sebab itulah, saya selalu terangkan kepada keluarga dan semua bahawa untuk kenal Islam kena kenal agamanya. Kesilapan sekarang ini, orang bukan Islam melihat dari sudut yang tidak berapa tepat iaitu orangnya,” katanya.

Buat masa ini, Johan berusaha memantapkan kecintaan kepada Allah dan sesama makhluk.

“Di samping itu, saya ada menerima undangan membuat perbandingan agama terutamanya untuk agama Kristian, memandangkan sedikit ilmu yang ada dan saya rasa ia perlu dikongsi dengan ramai agar syiar Islam terus tersebar dan berkembang serta bebas daripada persepsi negatif,” kata Johan mengakhiri perbualan kami lewat petang itu.